April 6, 2017

E3 - Catatan Pengalaman Bisnes Saya

Teks : Azni Aziz

Dunia perniagaan bukanlah asing bagi aku. Keluarga sebelah ayah aku ramai terlibat dengan perniagaan. Datuk aku mengusahakan perniagaan kayu, kakak dana bang kepada ayah aku berniaga barangan runcit dan kedai kopi. Manakala ibu aku sebelum kami sekeluarga berpindah ke Gua Musang berniaga pakaian di Pasar Siti Khadijah.

Darah meniaga memang mengalir dalam tubuh ini. Sementelah lagi kami wanita dari negeri Cik Siti Wan Kembang sudah sinonim dengan perniagaan. Sedikit sebanyak dalam fikiran pasti terdetik untuk berniaga.

Sebenarnya aku tidak pernah bersungguh dalam perniagaan. Sekadar suka-suka dan ingin mencuba. Semasa bekerja di GIATMARA, aku bersama dua orang kawan, Farah dan Ana berkongsi modal menjual tudung bawal dari Kelantan. Pada waktu itu, tudung bawal Kelantan tengah diminati. Sebagai orang Kelantan, aku lah yang dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan bekalan tudung tersebut.

Kemudiannya sewaktu bekerja di KeKKWa (Kementeria Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) aku menjadi ejen biskut raya kepada kawan. Sempat lah beberapa tahun berniaga biskut raya. Untung jual biskut raya tu dapat lah aku membeli ole-ole biskut raya untuk dibahagikan kepada rumah mak aku dan juga rumah nenek aku. Waktu tu masih bujang, rumah sendiri tak perlulah sediakan biskut raya.
Seterusnya, aku menambah lagi portfolio perniagaan aku dengan menjual pakaian wanita. Kali ini aku berkongsi modal dengan kak nurul. Cuma kali ini kami berniaga secara atas talian dengan menubuhkan sebuah blog http://wwardrobekl.blogspot.com/. Urusan teknikal diserahkan kepada kak nurul kerana dia lebih pakar. Model kami gunakan khidmat kawan pejabat saja, iaitu Syda. Memandangkan dia pangkat adik-adik kepada kami, jadi dia menjadi mangsa buli kami untuk menjadi model. Lokasi shooting hanya dalam pejabat saja. Itulah, berniaga secara atas talian ni, lain cabarannya. Tanpa ilmu dan kesungguhan, maka yang tinggal hanya blog http://wwardrobekl.blogspot.com/  sahaja sebagai kenangan.

Selepas berkahwin aku berpindah rumah dan tempat kerja ke Putrajaya. Di sini aku tidak lagi berniaga biskut raya. Walaupun aku hanya berniaga secara suka-suka, tapi kalau tidak ada benda untuk dijual, mulalah terasa bosan. Pada waktu ini trend orang berniaga secara online. Hari-hari buka Facebook tengok iklan orang berniaga. Aku mula berkira-kira untuk cuba berniaga menerusi Facebook. Akhirnya aku diketemukan dengan produk yang diperbuat dari tanah liat, “Clayever”. Pengasanya kalua tidak silap dari Pahang. Clayever ni produk untuk merawat masalah kulit. Berniaga Clayever ni pun tidak lama. Hanya sempat dua kali restock, kemudia aku berhenti. Lagi sekali aku tekankan berniaga secara atas talian perlukan ilmu dan kemahiran.

Selepas Clayever, aku terjebak pula dengan perniagaan menjual pakaian budak. Kali ini aku lebih fokuskan jualan secara offline. Kami memasang strategi dengan memasang ejen di kampung kerana di sana tidak ramai yang menjual pakaian budak serendah RM5. Tapi sementara itu aku wujudkan juga Page di Facebook iaitu Pakaian Budak Terlajak Murah. Perniagaan ini juga tidak lama kerana aku mengandung anak kedua dan mengalami alahan yang teruk.

Semasa berpantang anak kedua, setiap hari aku buka dan scroll Facebook dengan harapan terjumpa peluang perniagaan baharu. Sehinggalah aku ternampak post dari Puan Hayati yang sedang mencari Jemaah untuk perniagaannya. Dengan bermodalkan RM30 sebagai yuran keahlian, aku dimasukkan ke dalam group Whatsapp. Di sini kami di ajar ilmu-ilmu sebagai permulaan untuk berniaga secara atas talian dengan tertumpu kepada Facebook dan Instagram. Kebetulan juga rakan-rakan Jemaah lain ada yang sudah berpengalaman dan tidak lokek berkongsi ilmu. Maka bermulalah episod aku sebagai dropship Hayat Hijab dan kemudian naik pangkat sebagai ejen. Apabila perniagaan Hayat Hijab makin berkembang, kami dipecahkan mengikut kumpulan stokis. Aku telah memasuki kumpulan Amalina stokis Puchong dan Iman stokis Sepang. Sangat berterima kasih kepada mereka kerana banyk ilmu yang telah dicurahkan.

Facebook page aku yang dulunya aku jenamakan semula dengan nama Hayat Hijab Putrajaya (Kini Hijab Nuur, sebagai langkah persediaan akan datang). Aku wujudkan juga Instagram dengan nama yang sama. Aku beranikan diri melantik dropship sendiri. Ilmu-ilmu yang dikongsi oleh stokis aku salurkan kepada dropship. Selain itu aku buat juga secara offline.  Alhamdulillah, ilmu yang diajar aku aplikasikan sepenuhnya dan ia menampakkan hasil. Selama setahun terlibat dengan perniagaan tudung ni dapatlah aku menabung sedikit. Dalam Jemaah ini kami bukan sahaja diajar ilmu perniagaan, malah turut di ajar cara menguruskan duit perniagaan.

Malangnya berlaku masalah dalaman di peringkat pengurusan, ramai stokis yang lari. Ada yang mengeluarkan jenama sendiri. Group Whatsapp juga sunyi. Tiada lagi sapaan dari pengasas dan macam-macam lagi isu timbul. Waktu ini aku mula bosan. Semangat pun makin luntur dan aku pun meletakkan titik noktah sebagai ejen Hayat Hijab.


Berbekalkan minat dan sedikit ilmu dalam perniagaan online, kini aku masih mengintai-intai peluang perniagaan lain. Aku sendiri tidak sangka, dalam buat hanya sekadar suka-suka, dah bermacam-macam aku jual!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails