January 19, 2015

E10 - Banjir Besar Di Kelantan : 2014 Dalam Kenangan

Teks : Azni Aziz
Foto : Google

Setiap hujung tahun, negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya Kelantan, Terengganu dan Pahang akan mengalami musim tengkujuh dan berlaku banjir di sesetengah kawasan. Bagi rakyat Kelantan, mereka sudah biasa dengan keadaan ini. Malahan musim banjir ini dijadikan pesta untuk bermain air.

Selain dikaitkan dengan pesta air, banjir di Kelantan turut mencipta sejarah tersendiri. Jika bercerita tentang banjir di negeri ini pastinya peristiwa bencana Bah Merah takkan lekang dari mulut.  Ia adalah antara cerita lagenda orang-orang tua di Kelantan. Tragedi bah merah ini diceritakan dari mulut ke mulut, dari  generasi ke generasi. Saya sendiri pernah mendengar kisah bah merah ini daripada datuk dan nenek.


Menurut catatan, hujan tanpa henti selama sepuluh hari pada tahun 1926 telah menyebabkan banjir besar telah melanda beberapa kawasan di Kelatan. Banjir pada waktu itu digelar Bah Merah kerana air banjir yang bertukar menjadi warna teh susu. Hal ini dikatakan berpunca daripada bahagian hulu sungai yang runtuh dan menyebabkan air bercampur dengan lumpur.



Kira-kira 40 tahun kemudian di penghujung 1967, negeri Cik Siti Wan Kembang sekali lagi dilanda banjir besar dan meragut 38 nyawa dan kira-kira 537,000 atau 84 peratus penduduknya turut terjejas. Banjir itu dikatakan kurang sedikit berbanding dengan Bah Merah pada tahun 1926. Bagaimanapun, di sesetengah tempat, banjir tahun 1967 dikira lebih besar. Walau apa jua keadaan, peristiwa bah merah tetap akan diingati terutamanya oleh warga emas di Kelantan. Paling tidak, Bah Merah akan menjadi tanda aras apabila berlakunya banjir besar di Kelantan.

Pada 2004, banjir besar sekali lagi melanda Kelantan dengan menyaksikan seluruh bandar Kota Bharu dan beberapa jajahan termasuk Gua Musang dan Kuala Krai dinaiki air setinggi lebih dua meter. Banjir itu turut meragut 12 nyawa dan 11,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan yang disediakan kerajaan.




Selepas 10 tahun, Kelantan sekali lagi dilanda ‘Bah Merah’. Ada juga yang menyamakannya banjir kali ini sebagai tsunami. Tiada siapa yang menduga musibah banjir paling dasyat melanda Kelantan padatahun ini. Angka rasmi mangsa banjir yang mendiami pusat-pusat pemindahan yang dikeluarkan oleh Bilik Gerakan Banjir Kelantan  melebihi 150,000 orang.



Namun ini tidak termasuk mereka yang tidak berdaftar, berpindah ke pelbagai tempat yang tidak diwartakan kerajaan seperti di masjid-masjid, rumah-rumah saudara atau kenalan mahupun masih berada di rumah masing-masing yang tidak ditenggelami sepenuhnya.


Banjir kali ini meliputi seluruh negeri Kelantan kecuali daerah

Bachok. Kesan paling buruk adalah di Gua Musang dan Kuala Krai. Bahkan bekalan elektrik dan air terputus lebih seminggu di semua daerah ini.

Hujan Itu Dari Allah

Secara semulajadinya, hujan merupakan faktor utama kepada peningkatan jumlah air yang banyak dalam masa yang singkat yang menyebabkan banjir. Dalam Al-quran banyak Allah s.w.t menceritakan tentang hujan. Adakalanya ALLAH s.w.t menurunkan hujan sebagai rahmat kepada hambaNya. Namun, adakalanya Allah s.w.t menurunkan hujan untuk memberi peringatan kepada hambaNya yang melakukan kerosakan di muka bumi.





Kerosakan Itu Dari Manusia


Sedih dengan keadaan yang menimpa negerinya, Sultan Kelantan bertitah di mana baginda menyeru seluruh rakyat menjadikan alam sekitar sebagai sahabat baik kerana musibah banjir yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait dengan perbuatan manusia sendiri.


Titah baginda, rakyat perlu bermuhasabah dengan apa yang dilakukan selama ini dan perlu memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan.

"Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan dengan alam sekitar dan marilah kita sedar bahawa segala macam musibah bencana dan malapetaka yang terjadi semua itu akibat daripada olahan tangan-tangan kita.

"Semoga Allah mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak," 

"Banjir yang berlaku ini adalah sebahagian daripada qada dan qadar Allah. Hal ini harus diyakini dan diimani," titah baginda.


Hikmah Musibah Banjir

Tentunya kerosakan yang ditimpa banjir ini sangat besar sekali. Bayangkan betapa sukarnya hendak membina kembali kehidupan selepas bencana ini. Rumah yang ranap, jalan raya yang musnah, harta benda rosak teruk sangat memilukankan. Pastinya jumlah kerosakan ini sangat besar nilainya dan tentu mengambil masa bertahun pula untuk memulihkan kehidupan menjadi seperti sediakala. Sesunguhnya berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Walau bagaimanapun, kita teramat bersyukur dan bertuah kerana masih ramai rakyat Malaysia yang sangat perihatin dengan mangsa-mangsa bencana banjir yang melanda Negara ini. Mungkin ini juga ujian kepada kita kerana Allah s.w.t hendak melihat bagaimana kita bersatu dalam membantu mereka yang ditinpa musibah.

Berdasarkan pelbagai laporan, bantuan seluruh negara datang mencurah-curah. Seluruh rakyat Malaysia bersatu dengan rela hati menghulurkan bantuan terutamanya kepada mangsa banjir. Ini sangat mengharukan dan membanggakan! Ia petanda rakyat Malaysia masih menerapkan amalan murni tolong-menolong dan cintakan keharmonian tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Alangkah baiknya, keadaan seperti ini berkekalan hendaknya.

Semoga Allah mengampuni kita semua dan menggantikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak.





January 15, 2015

Entri Baru Sempena Tahun Baru & Status Baru

Assalamualaikum.......

Berhabuk dan bersawang dah blog ni. Lama betul tak update. Tetiba rasa rindu pulak. Last update masih anak dara, sekarang dah berstatus ibu.


Keluarga kecil saya

Harapnya entri ni menjadi titik permulaan untuk saya kembali berblog. InsyaAllah banyak perkara ingin dikongsikan dalam diari ni untuk dijadikan sebagai kenag-kenangan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails