December 31, 2010

Selamat Tahun Baru 2011

Tinggal beberapa jam lagi kita akan masuk ke tahun 2011. Tahun ini 2010 melabuhkan tirainya dengan senyuman manis rakyat Malaysia. Tahniah kepada pejuang ‘Harimau Malaya’ kerana perjuangan anda mengembalikan maruah negara. Kemenangan Harimau Malaya ke atas Sang Garuda pastinya menutup mulut2 yang membuat segala macam tuduhan kepada kita. Juga tamparan hebat buat segelintir rakyat Indonesia (tak pasti jika keseluruhannya) yang sangat membenci Malaysia. Bagi aku kemenangan ini bukan setakat kemenangan dalam sukan, tapi sebuah kemenangan yang melegakan perasaan yang terbuku di dada selama ini. Bagaikan sebuah dendam sudah terbalas. Bukan setakat isu laser atau tunjuk perasaan penyokong Indonesia kepada pasukan Malaysia, tetapi isu2 ganyang Malaysia, buluh runcing, bakar Jalur Gemilang dan segala macam tuduhan yang dilemparkan sebelum ini sangat mengguris hati. Aku sangat beremosi di sini. Iya, jika memababitkan soal maruah Negara, perkara sebegini aku tidak pandang remeh.


Yang manis….

Memandangkan 2010 berakhir dengan momen yang manis, kita lupakan sahaja apa2 yang pahit sepanjang 2010. Jadikan momen2 yang manis itu sebagai pendorong untuk terus melakar mimpi-mimpi indah di tahun baru.

Jadi, apa azam tahun baru korang ? (soalan klise setiap kali tiba tahun baru). Perlukah azam itu dimulakan atau diadakan setiap kali tahun baru? Dan kalau azam itu tidak tercapai…forward saja ke tahun depan. Jujurnya, aku tak pernah pasang azam atau memperbaharui azam setiap kali tahun baru. Aku akan usahakan apa yang dihajatkan atau diinginkan sehingga berjaya tanpa meletakkan tempoh masa. Kerana aku takut jika kegagalan aku mencapai sesuatu dalam tempoh yang telah ditetapkan akan mematikan semangat juang aku.

Sungguhpun begitu, aku tetap teruja menunggu tahun baru. Seakan-akan diberi peluang membaiki diri sekali lagi. Apa agaknya cabaran tahun depan, selain cabaran umur yang semakin bertambah. Kita tidak mampu meneka mahupun meramal dengan tepat apa yang bakal berlaku, tetapi bukankah kita mampu merancang?

Think positive. Perancangan yang jelas dan teliti di samping restu dariNya, InsyaAllah akan menemu kejayaan kerana itu adalah usaha.

Memulakan bab 2011, aku berjanji pada diri sendiri untuk meningkatkan lagi keimanan kepadaNya. Belajar untuk bersyukur dan redha menerima ketentuanNya kerana itu lebih membahagiakan.

Jadi, aku tidak akan tinggalkan 2010 dengan begitu sahaja. Bagi aku hari yang berlalu adalah sejarah, sejarah dan pengalaman silam membantu mencorakkan masa depan, hari ini seharusnya lebih baik daripada semalam dan hari esok pula sepatutnya lebih baik dari hari ini....sejarah gemilang sewajarnya diulangi...dan sejarah hitam biarlah cukup sekali

SELAMAT TAHUN BARU!



Tahniah wira-wira Malaysia !


Tukang kata : Tak nak lagi makan sendirian tahun baru nanti (....ini boleh kira azam ker?)


Damping malam

Wayang terakhir yang aku tengok untuk tahun ni. Eh best citer ni, korang gi lah tengok. Ini bukan citer hantu…..pengajaran untuk kita supaya jangan mintak pertolongan dengan yang lain selain ALLAH.

Sinopsis Damping Malam


Damping Malam mengangkat kisah seorang isteri bernama Ku Khalira lakonan Amy Mastura yang terlalu takut hidup dalam kesepian. Dia bersama suaminya Wadi (Ahmad Idham) adalah pasangan bahagia yang dikurniakan seorang anak bernama Nuraiza (Erynne Erynna).

Dalam kebahagian itu, rupa-rupanya hati Ku Khalira memberontak kesepian dengan layanan suami yang terlalu sibuk bekerja. Perasaan ini mula menghantui diri Ku Khalira setelah anaknya dihantar ke sekolah asrama penuh.

Situasi ini juga membuatkan Ku Khalira mengambil pendamping yang risikonya memakan diri dia sendiri. Apa yang dilakukan Ku Khalira bukan jalan penyelesaian apabila keluarganya di timpa musibah. Dalam pada itu, Ku Khalira cuba dibantu Ummi Siah lakonan Azizah Mahziah. Namun, bantuan itu telah disalah anggap.

p/s : Jangan lupa bawa pendamping kalau nak tengok cerita ni........

December 24, 2010

Selamat Pengantin Baru….Bos


Hari ni sepatutnya aku, Yan & Kak Nurul sedang jadi pengapit atau fower girl kepada bos aku (Cik Ariah). Ish..ish.. ada hati nak jadi flower girl. Bluek!

Akhirnya bos aku bertemu jodoh di usia 48 tahun, Alhamdulillah. Semoga Cik Ariah beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Selain dia dan keluarga dia yang gembira dengan berita ni, kami anak2 buah dia pun tumpang gembira. First time dia bagitau nak kawen, aku dan kengkawan senyum meleret dan cuba menahan diri untuk melompat kegumbiraan.

Untuk Cik Ariah, selamat melangkah ke alam baru. Pedulikan kata sumbang, bukan mereka yang menetukan kebahagiaan. Akhir sekali jangan lupa bawak KAMI (aku, kak nurul & yan) honeymoon di Terengganu. Kompem tak kacau nyer. Sorry ye Pak Ajis, kami memang suka menyibuk.He..he…

December 15, 2010

Selamat Hari Jadi Azni


Selamat hari jadi untuk diri sendiri. Nampaknya ini tahun terakhir pegang angka dua, tahun depan dah upgrade 3 series.
Buat kawan² yang sama birthday nya (10 Disember) Cik Su, Su dan Kakak Audit, selamat hari lahir untuk kamu² jugak, semoga sentiasa dirahmati Allah selalu.
Buat kawan² yang memberi ucapan, terima kasih atas ingatan dan doa kalian. Berkat doa² korang, InsyaAllah dimakbulkan Tuhan. Tahun depan sambut birthday penuh bermakna.
Memandangkan ini entry mengenai birthday, kepada yang sambut birthday hari ni, diucapkan selamat menyambut hari lahir. Kita mungkin berkongsi bintang yang sama, tapi belum tentu punya rasa yang sama, kan?
Tukang kata : Kalau dulu excited sambut hari jadi, tapi sekarang semakin hampir tarikhnya, rasa lain pulak. Mungkin takut tua, ha..ha....

Mimpi

Semalam aku bermimpi....arghh tiap-tiap malam pun aku bermimpi. Lagipun ada apa dengan mimpi, kan ke mimpi mainan tidur?
Biarlah....aku suka mimpi semalam, ada bahagia di situ. Mungkin otak separa sedar aku memikirkannya, hingga terbawa-bawa dalam mimpi. Alangkah bagus kalau jadi kenyataan. Ya Allah, jika ia baik untuk aku dan agamaku, maka jadikanlah kenyataan dan jika sebaliknya, aku redha jika ia hanya sekadar mimpi.

Tukang kata : Tapi orang cakap selalunya mimpi kita memberi gambaran yang sebaliknya.....

November 29, 2010

NGANGKUNG…Pengajaran untuk ‘Kaki Ekor’



Hari pertama filem Ngangkung ditayangkan, aku dan Nurul tak lepaskan peluang untuk pergi menonton. Biasalah panggung pilihan aku GSC Mid Valley.

Hari pertama filem Ngangkung ditayangkan, aku dan Nurul tak lepaskan peluang untuk pergi menonton. Biasalah panggung pilihan aku GSC Mid Valley.

Ngangkung adalah satu perkataan asing buat aku, dek kerana miskin tatabahasa.So, aku nak share maksudnya untuk pengkayaan tatabahasa kita. "Ngangkung bermaksud perbuatan memuja nombor ekor sambil bercangkung. Tapi menurut housemate aku yang bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan sebenar ialah Nyangkung.

Filem Ngangkung mengisahkan Azim lakonan Shaheizy Sam, seorang pemandu lori yang hidup sederhana di sebuah perkampungan pinggir bandar bersama isteri, Suri (Eira Syazira) dan anak perempuannya. Azim mempunyai dua orang kawan baik iaitu Tasnim (Azad) dan Wan (Angah Raja Lawak). Tasnim dan Wan merupakan ‘kaki ekor’ dan aktiviti mereka memang diketahui oleh isteri masing-masing.

Azim yang pada asalnya tidak pernah menghiraukan aktiviti rakan-rakannya akhirnya terpengaruh juga kerana desakan dan kesempitan hidup. Ditambah pula dengan kejayaan Tasnim mengubah gaya hidup setelah berjaya memenangi nombor ekor hasil ngangkung. Bermula dengan hanya untuk melihat, kian hari Azim semakin seronok mengikut Tasnim dan Wan walaupun secara senyap tanpa pengetahuan Suri.

Pelbagai cara dan berbagai jenis bomoh mereka jumpa demi mendapatkan nombor untuk mereka beli. Pelbagai kejadian seram dan lucu terjadi sepanjang mereka mengangkung. Perubahan ketara dalam hidup Azim berlaku apabila dia terlibat secara lebih serius sehingga mengabaikan keluarga akibat taksub untuk mendapatkan nombor ekor. Begitu juga dengan Tasnim dan Wan. Sehingga satu hari berlaku kejadian yang benar-benar mengubah hidup mereka.

O.K, movie review : Secara keseluruhan filem ini sangat menghiburkan dan sarat dengan pengajaran, terutama buat pengamal perbuatan syirik atau kaki ekor. Hakikatnya, di zaman moden ini, perbuatan ngangkung ini masih diamalkan oleh segelintir orang tidak kira di kampung ataupun Bandar. Ini kerana menjadi kelemahan manusia untuk mencari jalan mudah bagi menikmati kemewahan hidup di dunia. Tanpa disedari, jalan mudah itu memberi kesan negatif kepada diri dan keluarga.

ada aku mesej yang ingin disampaikan melalui filem ini jelas dan bersahaja. Sentuhan komedi dengan lawak tahap pecah perut (sangat la lawak weh!) menjadikan cerita ini sangat dekat dengan penonton. Jalan cerita yang tidak meleret ditambah dengan lakonan sahaja dari teraju-teraju filem ini menyempurnakan lagi Ngangkung di mata aku. So, aku bagi 5 bintang, peeewiiit….

Kepada sesape yang belum tengok, cepat-cepat ke panggung berdekatan. Tersangatlah rugi kalau tak tengok. (sila percaya sebab aku hanya promote citer yang best2 saje!)

Tukang kata : Shaheizy Sam sentiasa tampil berbeza dalam setiap kemunculannya. Dia muncul lebih ‘dewasa’ dalam Ngangkung. Nantikan kelainannya dalam ‘Khianat’ pada tahun depan.

October 29, 2010

Cuti Yang Tak De Pasal.....

Hmmm....nikmatnya tido, hujan pulak tu pagi tadi. Cuti yang dirahmati, he3. Mesti ada yang jeles dengan aku sebab diaorang terpaksa bangun pagi2 pegi keje.

Saje je aku amik cuti hari ni, cuti yang tak de pasal. Eh..eh..ada pasalnya, cuti untuk rehatkan mental dan fizikal. Mulanya plan nak gi jalan sorang2, tapi malas la pulak. So, lepak2 saje kat rumah sambil mengelap habuk2 kat blog aku ni sambil mencari inspirasi.

Banyak perkara yang nak dikongsi, tapi serunya belum sampai. Mungkin kena selalu buka blog dan melawat blog orang baru lah ada semangat nak mula balik kan? Lama benar aku abaikan blog ni sebab tenggelam dengan aktiviti baru yang seronoknya hanya sementara. Tak pe lah, itu pun pengisian hidup jugak kan.

So, aku harap seru nak menulis tu datang secepat mungkin.he3


October 26, 2010

Marathon Movie & Festival Filem Malaysia ke-23

Awas, ini adalah entri rojak! Mula² nak ceritapasal wayang dulu. Sabtu lepas aku and nurul buat marathon movie (betul ke istilah ni, ah belasah jer). First kami tengok Jangan Pandang belakang Congkak 2. Mula² tak berapa teringin nak tengok filem ni, sebab tak berapa minat tengok filem sekuel. Tapi asal baca paper jer, diaorang komen best, lagipun tujuan gi tengok wayang sebab nak release tension, so sangat sesuai lah kalau tengok cerita yang ringan dan santai. Lepas tengok cerita ni, matlamat kami berjaya lah sebab dari awal sampai ke akhir cerita, kami dok bantai gelak jer. Rasa²nya suara kami berdua paling kuat kot. Malas nak komen pasal cerita dan lakonan sebab kalau dah seronok tu, kecacatan sikit² tu boleh dimaafkan.

Memandangkan malam masih tersangatlah muda, habis je tengok cerita JPBC 2, kami terus beratur beli tiket Cuti² Cinta. Nasib baik sempat lagi, coz tak rancang pun nak wat marathon movie, tapi alang² dah ada kat sana. Huhu…malam yang seronok sebab dua² citer pun best. So malam tu kami pulang dengan senang hati J. Apa, sinopsis cerita ? Hmmm…. Sila tengok sendiri yer, he..he… Ooopppsss....lupa nak cakap, dalam dua-dua filem ni pun ada Nora Danish, comel sangat dia!


FFM23

Festival Filem….seingat aku setiap kali penganjurannya ada saja yang tidak kena. Saban tahun ada saja masalahnya, baik cerita sebelum berlangsung mahupun dah selesai berlangsung. Adatlah, sesebuah pertandingan, pasti menjadi perhatian tambahan pulak pertandingan berprestij untuk orang-orang filem (berprestij ker?). Kalau dulu, masa aku budak² lagi, aku nampak FFM ni tersangatlah hebatnya. Pemenang yang dinobat dalam FFM pun pastinya sangat hebat. Tapi sekarang ni, bila aku dah mula pandai menilai, walaupun hanya mengikut perasaan sendiri (suka hati aku lah, ini kan pandangan aku), aku rasa keputusan² FFM semakin meragukan dan menimbulkan persoalan. Walaupun tak semua, tapi kebanyakannya begitulah keadaannya. Setuju tak? Inilah yang orang kata rumah siap, pahat berbunyi.

Aku tak nak komen para pemenang, sebab bukan salah depa pun, mereka hanya dinobatkan sebagai pemenang (itu sudah tertulis olehNya). Cuma kemusykilannya adalah pada para juri, sebab keputusan mereka kadang-kadang tak tercapai akal ku.huhu…Well itu lah bezanya juri awam dengan professional kan?

Anyway tahniah kepada pemenang² anugerah utama FFM23. Yang penting, aku dah tengok semua filem yang berjaya dapat anugerah ni. J

Pengarah Terbaik - Evolusi KL drift 2

Pelakon Wanita & Pelakon Lelaki Terbaik
Lisa Surihani - Lagenda Budak setan
Bront Palarae - Belukar

Filem Terbaik - Magika

October 20, 2010

Magika yang magis!

Dah lama aku tak update tentang wayang2 yang aku tengok. Baru-baru ni aku berkesempatan tengok filem Magika.Tak silap hari kedua selepas ia ditayangkan.

Niat di hati nak tengok citer Eat Pray Love coz orang cakap cite dia best dan lagi satu sebab minat kat Julia Roberts. Tapi seats penuh la pulak. So, tukar ke plan B, aku tengok Magika. Jujurnya aku bukanlah penggemar filem muzikal. Tapi yang buat aku berminat nak tengok citer ni pun sebab tarikan artis² glamer yang berlakon dalam citer ni seperti M.Nasir, Ziana Zain, Ning Baizura dan ramai lagi. Kiranya percaturan KRU untuk menarik orang menonton filem ni dengan membariskan artis² glamer dalam filem ni menjadiklah.

But then, lepas aku tengok citer ni, aku berpuas hati dan sangat terhibur. Jalan ceritanya sangat menarik. Watak² dongeng dalam filem ni ada kesinambungan antara satu sama lain malah tidak nampak pelik walaupun watak-watak dongeng tersebut kita tahu kisahnya wujud pada zaman dan lokasi yang berbeza. Filem ni jugak mengingatkan kaku pada zaman kanak-kanak dulu yang sering disogokkan dengan cerita-cerita Melayu lama seperti Pak Pandir, nenek Kebayan, Naga Tasik Chini, Bawang Putih Bawang Merah, Badang dan sebagainya.

Pujian juga harus diberi kepada setiap pelakon kerana berjaya membawa watak masing-masing dengan berkesan. Walaupun terdapat banyak karektor dongeng dalam citer ni, kita akan setiap watak watak tersebut sebab setiap satunya digarap dengan keistimewaan tersendiri.

Kesimpulannya, KRU berjaya menampilkan sesuatu yang istimewa dan berlainan. Kepada yang belum tengok, rasanya filem ni masih ditayangkan lagi kot. Tak pun nanti beli je DVD bila dah keluar nanti. Tak rugi beli DVD untuk jadikan koleksi,
Akhir kata, pesanan dari penaja, jangan malu² untuk menonton filem tempatan.

October 12, 2010

Terimalah Kenyataan

Ingin ku hapus
satu persatu
sisa kenangan yang ada
di antara kita
agar tidak mengganggu
lena tidur malamku………
Engkau
hadir tidak pernah kuundang
tetapi tetap berkali datang
hingga mencipta sebuah harapan
yang sukar untuk dinafikan……
Atau
hanya aku yang melakar impian
hingga tersalah mentafsir sebuah
kemesraan……
Engkau
pergi berlalu sepi
diam mu itu alasan
yang harus aku faham....
Dan jika inilah
ketentuan Mu Tuhan
sedarkanlah aku dari lamunan
yakinkan lah aku Tuhan
bahawa dia bukan milikku
Aku tak ingin lagi
menunggu……
juga tak inginku
menanti…..
harapan untuk hidupkan
cinta yang tidak pasti
12/10/10 10.44 a.m

July 7, 2010

Cek Pertama Dari Nuffnang

Entri ni bukan nak berlagak. Saje nak kongsi kegembiraan. Gembira ker? Last week aku dapat first cek dari Nuffnang. Maaf jumlah xbleh disebut, rahsia! Sebelum ni asyik tengok orang jer dapat cek, akhirnya kali ni dapatlah aku merasa jugak. Tak tau lagi nak beli apa dengan duit ni, ingat nak beli sesuatu yang tahan lama untuk dijadikan kenang-kenangan.

July 2, 2010

Fasa Bahagia……

Hmm…rasanya dah lama benar aku tak bukak blog ni. Entahla, tetiba mood hilang (gangguan dari agenda2 peribadi). Ada benda yang hendak dikongsi tapi rasa tak sampai nak luah dengan tulisan.

Bagi aku pertengahan tahun ini adalah fasa bahagia untuk orang di sekeliling aku, terutama yang close dengan aku, baik ahli keluarga mahupun kawan² rapat. Dua orang kawan rapat aku melangsungkan perkahwinan dan pertunangan pada bulan yang sama. Disusuli pulak dengan berita kehamilan kawan-kawan rapat yang lain. Sebab itu aku katakana mereka sekarang berada dalam fasa bahagia. Aku tumpang gembira untuk mereka…Cuma sesekali terasa kehilangan….berjauhan. Aku harus akur yang itu kerana masing² punyai kehidupan yang telah direncanakan sebaiknya oleh yang Maha Kuasa.

Begitu juga ahli keluarga aku, sejak dua menjak selalu sangat buat gathering. Mek (panggilan untuk ibu aku. Panggilan ni glamer di Kelantan)akulah yang paling busy. Sebab kalau dah kumpul ramai2 tu, tak sah kalau dia tak de. Maklumlah tukang masak kegemaran ramai. Aku pun gembira tengok dia, tak habis² dengan aktiviti kekeluargaan. Tak delah sunyi sangat walaupun anak dia jarang balik menjenguk! Bukan apa mek, kalau balik jarang² baru mek sayang lebih. He..he..he…

Aku….? what about me and who cares about me? Kekadang itulah yang aku rasa bila perasaan menguasai diri. Masuk bab sentimental sekejap ye! Aku ni boleh dikatakan macam kaunter aduan untuk kengkawan. Mengadu lah apa saja dan bila² masa, aku setia mendengar. Mungkin aku dianugerahkan telinga yang sangat suka mendengar sebab itu menjadi pilihan untuk mereka. Tapi bila “time” aku, tak tahu pula nak pinjam telinga siapa untuk mendengar. Lagipun tidak elok mengganggu mood orang yang dalam fasa bahagia kan? Atau mungkin kekurangan aku punya mulut yang tak pandai berbicara. Jadi bukan salah telinga² mereka kan? Nasib baik jari pandai menulis, boleh kuceritakan kepada mata² yang mahu membaca.

Fasa bahagia….bahagia itu subjektif. Bergantung kepada penerimaan seseorang itu untuk menilai harus bagaimana baru dia bahagia. Buat masa ini, pada aku punya kehidupan yang sederhana dan menjalani kehidupan seperti orang² lain yang sedang berada dalam fasa bahagia itu sudah cukup untuk buat aku bahagia. Tapi mungkin konsep bahagia itu akan berbeza di lain masa.

Ya Allah, limpahkanlah kebahagiaan kepada seluruh umatMu!

June 1, 2010

Berehat Sebentar.....

Harap maaf ...tidak ada entri terbaru untuk seketika. Tuan blog ini mengalami kecelaruan minda. sekarang dia berada dalam tempoh bertenang. Akan kembali semula setelah keadaan pulih. Sekian pesanan dari penaja.

May 27, 2010

E9 - Cari Ketenangan Di Medan

Teks & Foto : Azni Aziz

Jalan-jalan tenangkan fikiran. Itulah tema percutian aku kali ini. Destinasi dituju adalah Medan, Indonesia.   Rombongan ke Medan turut disertai Cik Ariah, Rehan, Shery dan Cik Jamudin. Kami memang kaki jalan. Aku tidak ada idea tentang Medan, kerana ini kali pertama aku ke sana. Apa yang aku tahu, bercuti ke Medan tidak sah jika tidak ke Danau Toba.
Pesawat Air Asia yang berlepas dari LCCT selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia, Medan sekitar jam 10.00 malam waktu tempatan (lewat sejam dari waktu Malaysia). Penerbangan kami mengambil masa kurang lebih 50 minit. Dari situ kami mengambil teksi ke Zakia Hotel (bukanlah hotel sebenarnya, tetapi lebih kepada rumah tumpangan). Tambang teksi sebanyak 50,000 rupiah. Kami dicaj agak mahal mungkin kerana sudah lewat malam atau kerana kami pelancong (menurut orang Medan, dari airport ke bandar, kadar tambang teksi sekitar 25 ke 35 ribu rupiah sahaja). Bagi yang mementingkan keselesaaan, aku tidak syorkan hotel ini, tetapi untuk percutian bajet, ia boleh dimasukkan ke dalam senarai. Jangan tidak tahu, pelancong Mat Saleh suka tinggal di sini. Kos untuk satu malam adalah 60,000 rupiah.
Keesokan harinya kami bersiap seawal pagi menunggu pihak travel ejen (tempahan dibuat sebelum kami ke Medan) datang menjemput kami untuk memulakan trip. Sehingga mentari semakin meninggi ejennya tidak kunjung tiba. Kami mula rimas dan risau takut ditipu. Setelah beberapa kali cubaan menghubungi agensi pelancongan di Kuala Lumpur, baru lah kami mendapat jawapan bahawa ejen yang sepatutnya menjemput kami sedang menunggu kumpulan yang lain di lapangan terbang. Mereka lewat sampai kerana jadual perjalanan mereka tertunda.
Ejen berkenaan telah menghubungi kami dan memaklumkan akan menjemput kami sekitar jam 12.30 tengahari di Zakia Hotel. Tidak mahu membuang masa sementara menunggu travel ejen, kami mengambil inisiatif untuk melawat sekitar bandar Medan. Encik Jamudin mengajak kami ke Pajat Ikan (Pasar Ikan) dengan menaiki beca. Tambangnya 15,000 rupiah sehala. Jangan pelik pulak ya, namanya saja pasar ikan, tapi tempat itu tidak jual ikan pun. Kiranya kalau hendak membeli-belah barangan tempatan seperti telekung, batik, sutera dan lain-lain boleh lah ke Pajat Ikan. Tempatnya tidaklah sehebat Tanah Abang di Jakarta mahupun Pasar Baru di Bandung. 
Tepat jam 12.30 tengahari, kami dijemput oleh travel ejen dengan bas untuk memulakan trip. Tourist Guide kami namanya En. Sahala. Tapi kami bagi nama baru kepada beliau iaitu Mr. One Way. Kami bergabung dengan kumpulan lain yang juga dari Malaysia. Unik percutian kami kali ini, boleh dikatakan percutian 1Malaysia. Ada kumpulan berbangsa Cina, India dan Melayu. Selepas makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Perapat, Danau Toba. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 5 jam. Bas yang membawa kami bergerak perlahan kerana jalan yang berbukit bukau. Dalam perjalanan sempat singgah di gudang batik dan kedai makanan tempatan.


Lewat senja, tibalah rombongan kami di Perapat, Danau Toba. Di sini kami ditempatkan di hotel Patra Jasa.  Turun dari bas dalam cuaca gelap samar, hati terasa kagum dan terpesona melihat keindahan Danau Toba saujana mata memandang.

Group 1Malaysia

Hari kedua, selepas mengambil sarapan di hotel, kami di bawa ke jeti berhampiran untuk berlepas ke Pulau Samosir. Menurut Encik Sahala, keluasan Pulau Samosir adalah sama dengan keluasan Singapura. Di atas feri kami dihiburkan oleh pengamen (penyanyi jalanan) yang terdiri daripada tiga orang budak lelaki berumur sekitar 9-12 tahun. Destinasi pertama ialah melawat Kampung Ambarita, perkampungan orang Batak. Selepas Kampung Ambarita, kami di bawa ke Kampung Tomok. Juga perkampungan orang Batak. Dari Kampung Ambarita ke Kampung Tomok memakan masa 30 minit dengan menaiki feri.


Live band atas feri


Di Kg. Ambarita dan Kg. Tomok




Sepanjang perjalanan dari Perapat ke Brestagi, kami dapat menikmati pemandangan yang sungguh indah dan catik. Dari atas, Nampak Danau Toba seluas lautan. Pemandangan yang sangat menenangkan. Kami tiba di Brestagi lewat petang dan menginap di Danau Toba Cottage. Selesa biliknya. Brestagi ni tempat sejuk, jadi biliknya tidak ada penghawa dingin.

Brestagi ni kalau di Malaysia macam Cameron Highlands atau Kundasang. Hari berikutnya kami sambung lagi perjalanan pulang semula ke Medan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Kami hanya mengambil pakej selama 3 hari 2 malam. Jadi, trip kami habis sampai tengahari sahaja. 



Pemandangan dari Hotel Patra Jaya

Danau Toba

Pulau Samosir


Gunung Sinabayak..pernah meletup


Hari semakin lewat dan kami pun meninggalkan Danau Toba. Destinasi seterusnya adalah Brestagi. Fuhh… mencabar sungguh perjalanan dari Perapat ke Brestagi. Bayangkan kami melalui kaki gunung. Rasa macam naik roller coaster. Tapi tabik dengan pemadu di sana, yang sungguh cekap mengendalikan kenderaan. Dalam perjalanan kami singgah di Simarjarunjung untuk menikmati Teh Halia dan Goreng Pisang. Kemudian kami singgah lagi di air terjun Sipiso Piso (ketinggian 110 meter). Air terjun itu tidak menarik perhatian aku, tetapi pemandangan di kawasan itu sangat memukau pandangan. 

Sepanjang perjalanan dari Perapat ke Brestagi, kami dapat menikmati pemandangan yang sungguh indah dan catik. Dari atas, Nampak Danau Toba seluas lautan. Pemandangan yang sangat menenangkan. Kami tiba di Brestagi lewat petang dan menginap di Danau Toba Cottage. Selesa biliknya. Brestagi ni tempat sejuk, jadi biliknya tidak ada penghawa dingin.

Brestagi ni kalau di Malaysia macam Cameron Highlands atau Kundasang. Hari berikutnya kami sambung lagi perjalanan pulang semula ke Medan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Kami hanya mengambil pakej selama 3 hari 2 malam. Jadi, trip kami habis sampai tengahari sahaja.

Flight balik kami adalah pada keesokan harinya. Selepas daftar masuk di Hotel Seri Deli (juga hotel bajet, tapi lebih selesa dari Zakia Hotel), kami ronda-ronda sendiri di sekitar Bandar Medan. Sekali lagi ke Pajat Ikan untuk membeli-belah. Malamnya kami makan di Merdeka Walk. Tempat dia ala-ala Bukit Bintang di Kuala Lumpur. Terima kasih kepada Maran (budak Hotel Sri Deli) kerana sudi tolong carikan kijang untuk kami ronda-ronda malam tu. Kijang ni teksi versi Avanza. Habuanya kami belanja dia makan di Merdeka Walk.

Kesimpulannya percutian ke Medan tidak sah kalau tidak ke Danau Toba. Walaupun perjalanan yang memenatkan, tapi ia menyeronokkan. Agaknya misi Jalan-jalan tenangkan fikiran aku dan kengkawan tercapai sudah!

May 12, 2010

Amy Search Dapat Cucu Perempuan

Alhamdulillah, Nabila anak perempuan Amy Search dah selamat bersalin baby girl pada 11 Mei 2010 jam 4.20 petang. Nampaknya otai rock kita dah naik pangkat jadi Tok Wan. Seronok tengok kehidupan dia yang semakin lengkap seiring dengan pertambahan umur. Tahniah ye Tok Wan!


Nabila tengah menunggu masa....


Beberapa jam selepas deliver.....Amy dah naik pangkat.He3



Taraa.... ni la dia Keisha Laila, cucu atuk Amy. Comel dan tembam. Rasa nak cubit2 pipi dia

May 8, 2010

Keranda :Tradisi & Misteri

Hari ni aku berkesempatan ke Muzium Negara. Dapatlah melawat pameran keranda. Terima kasih kepada Muzium Negara kerana menaja breakfast dan lawatan aku hari ni. Terfikir gak macam seram je nak tengok pameran ni, tapi kalau tak masuk rugi la plak. Ntah bila lagi boleh tengok tradisi dan misteri keranda.

Keranda biasanya merujuk kepada tempat menyimpan mayat sebelum dikebumikan mengikut amalan agama dan tradisi sesuatu kaum. Secara berevolusi, kerana adalah medium perjalanan terakhir ke dunia yang berkekalan yang diterjemahkan mengikut cara yang berbeza-beza sejak zaman pra sejarah sehingga kini.

Kat bawah ni beberapa gambar keranda yang sempat saya snap tadi.


Cara pengebumian masyarakat Neolitik


Haa ni lah dia Perak Man


Pengebumian perahu oleh masyarakat pra sejarah lebih 3000 tahun yang lalu. Tradisi masyarakat yang tinggal di Kuala Selinsing, Perak dan Gua Niah, Sarawak



Kubur batu kepingan. Tradisi masyarakat Lembah Bernam, Perak



Yang ni cara pengebumian kaum Bateq. Tanam kat atas pokok.


Ini kereta jenazah. Tapi tak berenjin. Tarik saja ye! Digunakan oleh masyarakat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang sekitar 198o-an.


Yang ni mesti dah biasa tengok kan? Ini keranda masyarakat Melayu



Ini keranda paling mahal. Disalut emas 14 karat lagi. Dengar cerita siap ada air-cond kat dalam.He..he...


Ini plak keranda kayu kaum Kelabit Lungun


Keranda bulu masyarakat India (gambar atas dan bawah)



Ini bukan kerbau yang disumpah menjadi batu. Nama dia Erong Kerbau. Sejenis keranda yang digunakan oleh masyarakat Teroja, Sulawesi Tengah.

Ini keranda baby kot. Lupa nak amik ifo


p/s : Menarik kan? Sesekali kita mengenali warisan budaya masyarakat yang ada di negara kita. Jangan lupa ke Muzium Negara. Pameran ni dah bermula sejak 1 April lalu dan akan berkahir pada 20 Jun nanti. Cepat sebelum terlambat. Yuran masuk RM2 sahaja. KAlau nak amik gambar bayar RM3. Mungkin ini pengalaman sekali seumur hidup kita.

May 4, 2010

Ibu Bapa Bukan "Liabiliti"


Salam. Just nak share emel yang aku dapat dari seorang kawan. Selamat membaca dan semoga sama-sama kita mengambil iktibar dari kisah ini.

PETIKAN : 'Nota Hati Seorang Lelaki' ( Pahrol Mohd Juoi )
Inilah cerita benar. Cerita benar seorang penulis yang Berjaya. Beginilah kisahnya...

Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....

" Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak
banyak meragam.

"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada duit," Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar ditembak reaksinya.

" Bagilah beberapa yang ada," cadang emak pendek. "Takkan 5 ringgit?" Emak mengganguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang 5 ringgit....Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapa nayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit. Geli hati mengenangkannya.

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi pemintaan ayah. Kengkadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengigatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan setiap memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik
perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.

Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

"Nanti, besarlah kereta kamu ini...." ujur ayah senyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung. Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

" Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak
ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!. Di samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya. Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami, tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah al-Wahhab itu!

Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi bersama

" Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya. "Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa."

Baiklah, inilah sebenarnya rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang diperkatakan oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Tidak ada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails