April 20, 2017

E 13 - Sambutan Hari Moyang

Teks : Azni Aziz
Foto : Muhammad Zulfadly Selamat

patung dewa

Kerja aku telah memberi peluang kepada aku untuk lebih mengenali adat dan budaya kaum-kaum yang ada di Malaysia. Rasa bertuah diberi kesempatan untuk mengetahui keunikan budaya masyarakat majmuk di Negara kita. Jadi rasanya rugi kalau pengetahuan yang sedikit ini tidak dikongsi bersama kawan-kawan.

Mungkin penjelasan aku tidak menyeluruh kerana aku bukanlah ahli dalam bidang ini. Tapi aku harap sedikit sebanyak ia dapat memberi pengetahuan dan rujukan kepada sesiapa yang belum tahu. Dan kepada sesiapa yang sudah tahu atau sememangnya arif tentang perkara ini harap dapat ditegur jika ada kesalahan atau kekurangan.

Hari moyang adalah hari beribadah bagi kaum Orang Asli di Malaysia. Ia disambut pada 16 Mac setiap tahun. Hari moyang ni merupakan satu hari dalam setahun bagi semua Orang Asli memohon doa supaya Negara kita dijauhi daripada malapetaka seperti gempa bumi, tsunami, kemarau dan sebagainya. Pada hari tersebut dan selama tiga hari berturut-turut, kaum-kaum Orang Asli dilarang membunuh apa jua kehidupan atau merosakkan alam semula jadi ciptaan tuhan. Mengikut Kepercayaan mereka, jika pantang larang ini dilanggar, maka akan timbul malapetaka yang akan berlaku.

Bagaimana acara sambutan Hari Moyang ini diadakan? Pada pagi 16 Mac setiap tahun, semua penduduk kampung akan berkumpul di satu kawasan yang dikenali sebagai Sanggar Beribadah di setiap kampung masing-masing dengan mengarak moyang (patung dewa) dan memohon restu dari Tok Pawang. Selepas itu Tok Pawang akan menjalankan upacara pemujaan dan setiap orang kampung akan memohon restu daripada Tok Pawang.

Selepas acara memohon restu, mereka akan ke bangsal khas untuk menikmati jamuan makanan tradisional yang mereka bawa sendiri secara “pot luck”. Bagi upacara yang dihadiri oleh orang kenamaan, satu upacara khas seperti mencuci kaki dan menepung tawar (tabor bertih) akan dilakukan terlebih dahulu sebelum upacara pemujaan dilakukan. Kemudian Tok Pawang akan memberi restu untuk kesejahteraan orang kenamaan tersebut.

Di sini apa yang aku faham “Moyang” itu bermaksud satu “semangat” yang dipercayai oleh kaum Orang Asli yang menjaga keamanan mereka dan bukanlah ibu kepada nenek mereka. 

Menepung tawar orang kenamaan


April 19, 2017

E12 - Gila Munduk 2

Teks : Azni Aziz

Perkongsian saya tentang Pasar Munduk, Thailand sebelum ini hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman dan kegilaan rakyat Kelantan membeli-belah di sana.

Rupanya tanpa saya sedar, perkongisan saya itu secara tidak langsung telah mewar-warkan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Sebetulnya aktiviti menyeberangi sempadan tanpa menggunakan dokumen perjalanan yang sah malah menggunakan jalan tikus iaitu laluan yang tidak diwartakan adalah salah di sisi undang-undang. Jadi sudah ada dua kesalahan di situ, kata seorang teman Siti Nadzifah Abdul Rahman, seorang Pegawai Imigresen.

Jika ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia, ia boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959 Seksyen 6 (3) yang memperuntukkan kompaun sebanyak RM10,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


April 18, 2017

E11 - Bahaya Penyakit Dengki

Teks : Azni Aziz

Perkataan DENGKI sering kali dikaitkan dengan bangsa Melayu. Dialog “argh…, biasa lah orang Melayu, tak habis-habis dengan perasaaan hasad dengki (PHD)” bagai satu dialog turun temurun. Diwariskan dari zaman ke zaman. Persoalannya, bangsa Melayu sahaja kah yang punya perasaan dengki? Bagaimana dengan bangsa lain, mereka tidak pernah ada perasaan dengki kah sampaikan perasaan dengki diberi hak keistimewaan kepada orang Melayu?

Sebetulnya perasaan dengki itu tidak mengenal bangsa, kaum, jantina mahupun agama. Tidak kira sama ada Melayu, Cina, India waima etnik lain juga punya perasaan dengki. Kerana dengki itu merupakan penyakit hati, terbit dari perasaan kebencian dan kemarahan yang timbul akibat cemburu dan iri hati yang sangat besar. Bohonglah kalau ada sesiapa yang cakap tidak pernah terbit perasaan dengki dalam hati sanubari mereka. Kalau betul maknanya orang itu tidak normal kan?

Kadangkala apabila melihat orang lain yang lebih bijak, lebih cantik, lebih bahagia, lebih kaya dan segala-galanya lebih sempurna dari kita, pasti terdetik rasa iri dan cemburu terhadap mereka. Lebih-lebih lagi orang yang dirasakan sempurna dan lebih serba serbi dari kita itu adalah individu yang kita kenali.

Bagi aku tidak salah untuk merasa cemburu dengan kelebihan orang lain, asalkan perasaan itu tidak berlebih atau masih terkawal. Cemburu boleh jadi positif apabila kita menjadikan kejayaan atau kelebihan orang lain sebagai pembakar semangat untuk terus memajukan diri! Semaju dan sehebat yang mungkin, malah lebih baik dari mereka.

Negatifnya cemburu apabila ia boleh merubah kepada perasaan dengki. Penyakit dengki ini sangat bahaya kerana secara senyap ia mengheret kita mendekati dendam kesumat.

Ada apa dengan dengki? Kerana dengki apa saja kebaikan atau usaha murni orang lain disalah erti. Sudahlah kita cemburukan mereka disebarkan pula wabak itu kepada orang sekeliling. Maka terjadilah dengki secara berjemaah.

Perasaan dengki tidak hanya berhenti setakat ini. Jika dibiarkan, boleh pula menguasai akal dengan pelbagai helah. Mulalah timbul penyakit lain iaitu fitnah dan usaha memburuk atau menjatuhkan orang lain. Lebih teruk lagi apabila menjadikan jin dan syaitan sebagai sahabat dan pemangkin matlamat. Bila sudah kena penyakit dengki, mulalah matlamat menghalalkan cara. Biar segalanya musnah asalkan puas beraja di hati.

Sesungguhnya rasa dengki itu berkembang mekar tanpa batasan. Kadang kala hadirnya tanpa alasan. Ingatlah, kerana dengki kita tidak akan ke mana-mana. Kerana dengki bangsa kita menjadi hina dan hancur binasa. Kerana dengki juga Negara kita porak-peranda.

Oleh itu kawan-kawan, hayatilah kelebihan atau kesempurnaan orang lain itu sebagai satu kurniaan Allah untuk kita berfikir lantas mensyukuri nikmatNya. Setiap yang lebih pasti ada sebabnya. Jadi tidak perlulah kita membebankan diri dengan perasaan dengki yang tidak menguntungkan apa-apa.

Seandainya kita kurang bijak, kurang cantik, kurang bahagia dan kurang kaya daripada orang lain, jangan sesekali berperasaan dengki. Jadikan kekurangan kita sebagai pembakar semangat dan kelebihan mereka sebagai cabaran untuk kita menjadi setanding atau lebih baik. InsyaAllah!


April 12, 2017

E7 – Entri Puji Suami

Teks : Azni Aziz

Sejak kebelakangan ini, kesihatan aku sedikit terganggu. Rasanya aku telah mula terkena symptom alahan. Iyalah, kandunganku juga seduah berusia enam minggu.

Kalau mengikut dua kali pengalaman sebelum ini, tahun saja diri mengandung, aku mula mengalami alahan teruk sehinggakan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji di awal kandungan. Harapnya kandungan kali ini aku terlepas dengan pengalaman peritnya alahan mengandung.

Dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan, suamilah yang mengambil alih tugas-tugasku di rumah. Dari urusan anak-anak, memasak, cuci dan lipat kain, dialah yang uruskannya. Cuma bab mengemas rumah sahaja dia tidak pandai. Tidak mengapalah, perlahan-lahan aku buat bila rasa sedikit cergas nanti.

Kebetulan pula semalam, pulang dari kerja aku betul-betul tidak larat. Tiba-tiba rasa tidak selesa di perut dan mengigil kesejukan. Sampai di rumah  aku terus ke bilik dan berselimut.

Hampir masuk waktu maghrib, suami masuk ke bilik dan bertanya, “ ayang nak madi air sejuk ke panas?. Dah nak masuk waktu maghrib ni, bangunlah mandi dan solat. Nanti sambunglah rehat.”. Tanpa menunggu jawapan dari aku, dia terus ke dapur dan menjerang air. Lima minit kemudian dia masuk semula ke bilik dan mengarahkan aku untuk mandi. Air panas telah disediakan di bilik air.
Perasaan aku? Tentulah terharu. Terima kasih encik suami, dalam sibuk melayan karenah anak-anak kecil dan uruskan rumah, kebajikan isteri tetap dijaga.

Sejujurnya suami aku bukanlah seorang yang romantik. Jika impikan kejutan pada hari lahir atau ulang tahun perkahwinan, mimpi di siang harilah jawabnya. Kalau dia ingat tarikh saja itu sudah cukup baik.

Seperti cantik dan bahagia, romantik juga sesuatu yang subjektif. Jika suami kita tidak berlagak seperti hero di dalam filem atau drama cinta, terimalah seadanya dia. Keikhlasan dia menjaga kita seisi keluarga itupun sudah dikira romantik!


E6 – Mudahnya Menjemput Rezeki

Teks : Azni Aziz

Foto : Google



Akhir tahun lepas aku berpeluang membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki tulisan Ustaz Fathuri Salehuddin. Buku ini dibeli dari seorang rakan. Pada mulanya tujuaan asal aku membaca buku ini adalah untuk engetahui teknik-teknik spesifik menjemput rezeki dengan mudah. Memandangkan waktu itu aku terlibat dengan perniagaan kecil-kecilan.

Bila disebut perkataan rezeki, pastinya kita terbayangkan duit yang menimbun, rumah besar, kereta mewah, perniagaan yang menguntungkan dan sebagainya. Apabila kita tidak dapat mencapai setiap satu yang disebut tadi, mulalah kita mengeluh dan merasakan sempitnya rezeki kita.

Allahuakbar! Sempitnya pemahaman aku mengenai rezeki Allah. Namu setelah helaian demi helaian buku ini dibaca, aku mula memahami maksud dan konsep rezeki.

Tahukah kita, setiap apa yang memberi manfaat kepada kita, itulah disebut rezeki. Sihat itu rezeki, bahagia itu rezeki, banyak masa juga rezeki, tidak putus idea itu rezeki, dapat yang baik-baik juga adalah rezeki. Betapa luasnya rezeki Allah s.w.t.

Selian dapat memahami konsep rezeki, buku ini juga menjelaskan perbezaan menjemput rezeki dan mencari rezeki. Menjemput rezeki adalah lebih mudah daripada mencari rezeki kerana kita sudah tahu rezeki hanya datang dari Allah. Sedangkan rezeki kalua dicari, kita belum tahu di mana tempatnya. Mulalah kita beralih dari satu kerja ke satu kerja dan timbullah perasaan sukanya mendapat rezeki.

Lagi satu bab yang paling berkesan dalam buku ini iaitu konsep ‘milik kita belum tentu rezeki kita!” Contohnya gaji bulanan kita. Adakah sepenuhnya kita gunakan untuk kegunaan kita. Tentu tidak bukan? Kerana di situ ada rezeki anak-anak kita, rezeki tuan rumah (jika mendiami rumah sewa), rezeki penjual pakaian yang kita beli dan lain-lain lagi. Begitulah kitaran rezeki, sering berkait dengan persekitaran kita.

Kesimpulannya, tidak jemu membaca buku ini kerana setiap muka surat terkandung ilmu yang bermakna. Di sini saya kongsikan antara tips terkandung dalam buku ini.


11 Cara Menjemput Rezeki
  • ·         Utamakan solat wajib
  • ·         Amalan solat tahajjud kunci pembuka segala pintu rezeki
  • ·         Amalan Solat Dhuha
  • ·         Sentiasa basahkan lidah dengan zikrullah
  • ·         Banyakkan berdoa kepadaNya
  • ·         Doakan juga kebaikan kepada orang lain
  • ·         Sedekah
  • ·         Jadikan amalan membaca al-quran
  • ·         Amalkan asma al-husna
  • ·         Teruskan berusaha
  • ·         Sentiasa bersyukur kepada Allah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails